
MERLIMAU, 21 Januari – Golongan orang kurang upaya (OKU) menyambut baik pengumuman kerajaan berkenaan pendidikan percuma di institusi pengajian tinggi awam, politeknik dan kolej komuniti membabitkan kira-kira 3,000 golongan itu.
- Pengajian percuma meringankan beban kewangan keluarga OKU dan memudahkan mereka meneruskan pelajaran.
- Inisiatif dianggap peluang besar untuk OKU membina masa depan lebih baik dan meningkatkan keyakinan.
- Langkah dijangka menggalakkan penyertaan OKU dalam pengajian tinggi, terutamanya bidang Pendidikan dan TVET.
Inisiatif berkenaan bukan sahaja meringankan beban kewangan keluarga, malah menjadi suntikan semangat untuk terus melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Seorang pelajar Kolej Komuniti Jasin, Muhammad Haiqal Suhaimi berkata, bantuan pengajian percuma itu membolehkan beliau menjimatkan perbelanjaan ibu bapa selain memberi kemudahan untuk meneruskan pengajian.
“Bantuan ini sangat membantu dari segi kewangan dan mengurangkan beban ibu bapa saya. Saya ingin menggalakkan rakan-rakan OKU di luar sana supaya mengambil peluang melanjutkan pengajian di mana-mana institusi pengajian tinggi, termasuk kolej komuniti dan politeknik,” katanya ketika ditemui pemberita Kolej Komuniti Jasin, di sini.
Seorang lagi pelajar, Nursyahirah Najihah Muhamad Rabani pula menyifatkan langkah kerajaan itu sebagai peluang besar kepada golongan OKU untuk membina masa depan yang lebih baik.
“Yuran pengajian percuma ini sangat baik untuk pelajar OKU. Saya berharap golongan OKU di luar sana tidak berasa rendah diri dan berani mengambil peluang untuk menyambung pengajian di universiti atau kolej,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kolej Komuniti Jasin, Sr Mohamad Kelana Juwit berkata, pelaksanaan pengajian percuma itu dijangka menggalakkan lebih ramai golongan OKU menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi, khususnya dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Pengajian percuma kepada golongan OKU amat penting kerana mereka memerlukan perhatian dan kebajikan yang sewajarnya.
“Saya menyeru semua pihak untuk bersama-sama menyahut seruan kepimpinan negara dalam memperkasakan TVET, khususnya apabila kemudahan dan prasarana yang lengkap telah disediakan untuk golongan OKU,” katanya.