KUALA LUMPUR, 23 Mac- Seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan di sebuah sekolah di Sungai Buloh, dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 11.26 pagi.
"Mayat pelajar itu dihantar ke Hospital Sungai Buloh dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan kecederaan di bahagian kepala akibat terjatuh dari tempat yang tinggi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Hafiz berkata, punca kejadian masih dalam siasatan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
"Orang ramai terutama pengguna media sosial dinasihatkan tidak menyebarkan kandungan yang boleh mencetuskan kegusaran atau menggugat ketenteraman awam," katanya.