SUNGAI BAKAP, 1 Julai - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan terus meningkatkan aspek keselamatan dari semasa ke semasa di semua institusi pendidikan.
Ini susulan insiden seorang pelajar lelaki tingkatan satu yang cedera parah selepas dipercayai terjatuh dari tingkat lima bangunan sekolahnya di Kajang semalam dan dilaporkan meninggal dunia.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata siasatan dalaman berkaitan insiden itu turut dijalankan dan diserahkan kepada pihak berkuasa.
"Saya rakamkan ucapan takziah kepada keluarga, rakan-rakan dan sekolah. Saya fikir ini tak mudah untuk semua pihak kerana kejadian ini berlaku di sekolah, tetapi saya ingin ingatkan keselamatan dan bagi pihak KPM kita tak kompromi soal keselamatan.
"Jadi dari semasa ke semasa kita sentiasa mengingatkan pihak sekolah tingkat keselamatan anak-anak (di sekolah) dan ini kejadian yang sangat mendukacitakan, kita benar-benar terkesan dengan kejadian tersebut," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Fisioterapi dan Penjagaan Wajah Wanita bertempat di Taman Puteri Gunung, Sungai Bakap pada Ahad.
Terdahulu, siasatan awal pihak polis mendapati pelajar lelaki itu telah dikejarkan ke Hospital Kajang dan dirawat dengan beberapa kesan kecederaan di bahagian kepala dan anggota badannya.