SHAH ALAM, 6 November - Penuntut universiti di Selangor diminta tidak memandang remeh gejala ekstremisme di kampus sebagai langkah untuk mengelak penyebaran fahaman menyeleweng dalam institusi pendidikan tinggi.
Exco Agama Islam Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, mereka harus tegas menegur, membanteras serta menyekat perilaku itu kerana setiap ajaran sesat bermula daripada ketaksuban dalam agama.
"Kita lihat kesesatan al-Arqam dan GISBH contohnya bermula daripada sikap ekstrem mengkultuskan pemimpin mereka secara berlebihan dalam mengikuti ilmu fitan.
"Daripada kepercayaan melampau akan kemunculan semula Abuya mereka pemuda Bani Tamim yang akan bersama al-Mahdi, anak-anak kecil dieksploitasi menjadi buruh paksa kononnya untuk membina kekuatan ekonomi islam di akhir zaman.
"Ajaran ekstrim seperti Al-qaeda dan Daesh juga bermula dengan sikap ekstrim dalam mengkafirkan pemimpin islam yang dituduh tidak berhukum dengan hukum Allah sehingga mereka menyerang dan membunuh saudara muslim sendiri," katanya menerusi rakaman video sempena majlis penutupan Seminar Kefahaman Ekstremis dalam kalangan Pimpinan Pelajar IPTA dan IPTS Selangor 2024 di sini.
Tambahnya lagi, peranan aktif penuntut juga diperlukan bagi memastikan institusi pendidikan menjadi pusat penyebaran ilmu yang benar dan menolak penyebaran ajaran menyeleweng.
Kerajaan negeri turut konsisten memastikan rakyat tidak terpengaruh ajaran sesat dengan menguatkuasakan undang-undang tegas serta meningkatkan kefahaman aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.