Pelajar diingatkan patuhi peraturan jalan raya susulan kemalangan maut

Keadaan motosikal pelajar lelaki tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin yang terlibat dalam kemalangan jalan raya di Jalan Kepong, pagi tadi/foto BERNAMA

KUALA TERENGGANU, 11 Januari – Kes kemalangan jalan raya melibatkan pelajar yang menunggang motosikal ke sekolah setiap tahun terus membimbangkan, khususnya apabila ada dalam kalangan mereka mengabaikan aspek keselamatan seperti tidak memakai topi keledar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelajar mesti bertanggungjawab jaga keselamatan diri dan mematuhi peraturan jalan raya setiap kali menunggang motosikal.
  • Sekolah perlu lebih tegas menguatkuasakan peraturan keselamatan dan pelaksanaan modul keselamatan jalan raya.
  • Ibu bapa diminta pastikan anak memakai topi keledar sebelum keluar rumah; polis akan ambil tindakan tegas terhadap pelanggaran.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Sektor Operasi Sekolah, Zainal Abas, menegaskan semua pelajar perlu bertanggungjawab terhadap keselamatan diri masing-masing, di samping keprihatinan semua pengguna jalan raya.

Beliau berkata, pihak pengurusan sekolah juga perlu lebih tegas dalam memastikan pelajar mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan.

Menurutnya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) telah menyediakan modul keselamatan jalan raya untuk diterapkan kepada pelajar, namun peranan ibu bapa adalah paling penting.

“Ibu bapa perlu memastikan anak-anak memakai topi keledar sebelum keluar rumah. Pemeriksaan awal ini penting kerana kebanyakan kemalangan berlaku di luar kawasan sekolah,” katanya.

Zainal berkata demikian selepas menziarahi keluarga seorang pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin yang maut di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini.

Dalam kejadian itu, pelajar berkenaan maut di lokasi kejadian selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta di Kampung Pengadang Baru, di sini.

Terdahulu, Zainal turut meninjau sesi persekolahan di SMK Seri Budiman, bersama Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Azli Mohd Noor.

Sementara itu, ACP Azli berkata pihak polis akan mengambil tindakan tegas terhadap pelajar yang tidak mematuhi peraturan jalan raya, khususnya mereka yang menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar.

Menurutnya, kemalangan maut yang berlaku itu membuktikan betapa seriusnya isu keselamatan jalan raya dalam kalangan pelajar sekolah dan memerlukan perhatian semua pihak.