fb fb fb fb fb

Pelaburan syarikat utama dunia mencerminkan keyakinan syarikat dunia terhadap potensi Malaysia

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 2 Oktober- Keputusan syarikat gergasi teknologi dunia Oracle, mencerminkan keyakinan dan komitmen syarikat-syarikat dunia terhadap potensi Malaysia sebagai pintu masuk bagi infrastruktur awan dan menyokong pertumbuhan ekosistem kecerdasan buatan (AI) serantau.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik pengumuman syarikat itu berkenaan pembukaan pusat awan awam pertamanya di Malaysia dengan pelaburan berjumlah US$6.5 bilion.

"Kejelasan dasar dan pendekatan kerjasama strategik yang dilaksanakan Kerajaan MADANI telah berjaya menarik pelaburan daripada syarikat teknologi utama dunia seperti Amazon Web Services, Microsoft, Google dan terkini Oracle", kata Datuk Seri Anwar menerusi hantaran di facebook.

"Keseluruhan projek yang diumumkan oleh syarikat-syarikat itu sehingga kini melibatkan pelaburan keseluruhan yang dianggarkan bernilai US$16.9 bilion (RM70.3 bilion).

Beliau berkata adalah penting bagi tenaga kerja dan syarikat tempatan merebut peluang sebaiknya daripada pelaburan-pelaburan ini.

"Dalam beberapa siri perbincangan bersama pelabur termasuk pengurusan tertinggi syarikat-syarikat tersebut, saya tekankan kepentingan perluasan manfaat jangka panjang kepada Malaysia, termasuk pembangunan pusat kecemerlangan, fakulti AI dan pemerkasaan kumpulan masyarakat.

"Saya yakin dengan sokongan semua pihak, matlamat dan sasaran Ekonomi MADANI akan dapat dicapai, Insya-Allah", katanya.

ROSLINA BINTI DIN