KAZAKHSTAN, 17 Mei- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam tindakan pihak tertentu yang menggunakan kekerasan sebagai jalan keluar bagi mencari jalan penyelesaian.
Ia susulan serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor awal pagi tadi.
Ujar Anwar, tindakan itu jelas tidak menguntungkan dan boleh menimbulkan ketegangan.
Tambahnya, kejadian tersebut turut mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang menyatakan keprihatinannya terhadap situasi tersebut.
"Kita dalam hal keamanan tidak boleh bertolak ansur.
"Ketika negara telah dihormati dunia dan pelaburan meningkat serta kekuatan ekonomi kian baik, maka adalah sikap khianat dan benci yang ditanam yang menyebabkan keganasan itu berlaku," kata Anwar kepada pemberita menerusi sidang medianya di sini.
Terdahulu, Anwar mengadakan lawatan rasmi ke Kazakhstan selama dua hari sehingga ke hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata Kazakhstan bersetuju untuk membuka peluang kepada pelabur dan syarikat tempatan bagi meneroka pelbagai bidang di negara terbesar Asia Tengah itu.
Anwar berkata, negara kesembilan terbesar di dunia itu mempunyai pelbagai inisiatif serta sumber menarik untuk diterokai.
Ujarnya, kerjasama yang sedia terjalin telah memudah cara bagi menjadikan kedua-dua negara rakan strategik penting di Asia.
Antara yang ditawarkan Kazakhstan adalah melibatkan industri halal, perlombongan, tenaga boleh diperbaharui dan transformasi digital.
Artikel Berkaitan:
Insiden serang Balai Polis U.Tiram: Agong zahir takziah
Anwar ke Republik Kazakhstan, perkuat hubungan sedia ada, teroka kerjasama baharu