KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Ketua Penasihat Bangladesh Dr Muhammad Yunus, menjemput pelabur Malaysia untuk meneroka peluang besar dalam sektor perniagaan di negara itu.
Beliau berkata, Bangladesh sedang berkembang pesat, disokong kekuatan demografi muda dan kreativiti rakyatnya yang dilihat memberi kelebihan daya saing kepada negara itu untuk menarik pelaburan asing.
"Bangladesh adalah negara yang menarik. Anda dapat menemui populasi yang besar, tetapi kebanyakannya sangat muda inspirasi dan kreativiti mereka belum pernah dimanfaatkan sepenuhnya.
"Membangunkan kreativiti ini adalah sesuatu yang amat mengagumkan dan tidak terbatas potensinya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada seminar perniagaan mengenai peluang perdagangan dan pelaburan antara Bangladesh dan Malaysia di sini hari ini.
Tenaga kerja muda yang produktif berupaya melonjakkan ekonomi domestik, sekali gus membuka ruang kerjasama lebih luas dengan negara serantau termasuk Malaysia.
Lawatan rasmi beliau selama tiga hari ke Malaysia turut menyaksikan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim membincangkan kerjasama strategik meliputi perdagangan, pelaburan, tenaga kerja, pendidikan, pelancongan, pertahanan, ekosistem halal, dan pertukaran budaya.
Beberapa dokumen penting turut ditandatangani meliputi kerjasama dalam bidang pertahanan, ekosistem halal, gas asli cecair (LNG), pendidikan tinggi, serta hubungan antara institusi penyelidikan dan komuniti perniagaan kedua-dua negara.
Bangladesh turut berharap Malaysia dapat memainkan peranan dalam usaha pembangunan semula negara itu.