fb fb fb fb fb

Pelabur asing di JS-SEZ setuju tawar gaji premium kepada tenaga kerja tempatan

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (depan, kanan) mendengar titah Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Bagi Penggal Persidangan Ke-4, Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar. / BERNAMA

JOHOR BAHRU, 20 Mei- Pelabur-pelabur asing di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) bersetuju menawarkan gaji premium kepada tenaga kerja tempatan.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata pihak pelabur menetapkan dua syarat bagi memastikan tenaga kerja yang diambil setara dengan tangga gaji tersebut.

"Pertamanya ialah daripada segi produktiviti. Produktiviti kena sama dengan gaji yang ditawarkan.

"Keduanya daripada segi teknikal skil. Anak-anak kita terus diberikan latihan berkat usaha sama universiti dan Johor Skills (Pusat Pembangunan Kemahiran Johor) untuk memastikan apa yang diperlukan sama dengan apa yang ditawarkan," kata Datuk Onn Hafiz.

Beliau berkata demikian semasa Persidangan Dewan Negeri Johor di Iskandar Puteri.

Menerusi penubuhan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) November tahun lalu, Johor muncul negeri pertama yang akan menawarkan gaji premium kepada pekerja tempatan.

Pelabur juga digalakkan menetapkan gaji minimum kepada graduan Diploma sebanyak RM3,500 manakala Ijazah, RM4,000.

MOHAMAD KHAIRIE KHALID