PUTRAJAYA, 30 Mei- Pengumuman Google menempatkan pusat data Google dan wilayah awan Google pertama di Malaysia merupakan satu pengumuman yang baik.
Menurut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, ia adalah petanda bahawa para pelabur mempunyai keyakinan utuh terhadap dasar pentadbiran yang dilaksanakan Malaysia.
"Ini satu pengumuman yang cukup baik dan cukup-cukup positif untuk negara kita.
"Ini kerana ia sememangnya petanda bahawa para pelabur mempunyai keyakinan yang utuh terhadap pentadbiran, dasar-dasar yang kita laksanakan dan juga masa depan yang bukan hanya stabil tapi cerah untuk negara kita.
"Dan memang saya tahu, saya dimaklumkan sebelum ini ada beberapa negara destinasi yang dalam pertimbangan mereka.
"Tapi dalam siri pertemuan termasuk dengan saya, saya percaya apa yang telah kita sampaikan dan prestasi kita telah dinilai dengan baik.
"Maka alhamdulilah, hari ini kita mendengar tentang pelaburan daripada pihak Google," katanya kepada media selepas perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di sini.
Sementara itu, Fahmi turut menyeru semua pihak meningkatkan produktiviti bekerja dengan lebih pintar untuk menarik lebih banyak pelabur melabur, sekali gus memberi manfaat kepada rakyat.
Dalam pada itu, Fahmi berkata perbincangan peringkat akhir bersama Meta akan diadakan pada pertengahan bulan Jun di Singapura.
Fahmi akan hadir bagi membincangkan beberapa perkara termasuk usaha membanteras bahan berunsur palsu atau tidak tepat.
"Keselamatan dalam talian untuk kanak kanak dan keluarga.. apa yang kita inginkan adalah 'online safety to make Internet safe for children and families'.
"Saya percaya sudah pasti pihak Meta sama ada dalam Facebook, Instagram dan juga WhatsApp, mereka sehaluan dengan kita dalam hal ini," kata Fahmi.
Dalam masa sama, Fahmi turut berkata mengenai nombor WhatsApp yang boleh digunakan untuk aduan, tapi ia masih dalam perbincangan dengan pihak Meta.
"Belum lagi, jadi-jadi nanti kita akan umumkan saya perlu ada sedikit perbincangan dengan pihak Meta dan selepas itu insha-Allah kita akan kita akan umumkan," katanya.
Artikel Berkaitan:
Pelaburan RM9.4 bilion oleh Google bakal sokong 26,500 pekerjaan - MITI
Anwar sambut baik pelaburan Google AS$2 bilion di Malaysia