fb fb fb fb fb

Pelabuhan Bintulu jadi milik Sarawak akhir Disember

Pelabuhan Bintulu akan diserah sepenuhnya kepada Kerajaan Negeri, akhir Disember tahun ini

PUTRAJAYA, 28 Ogos- Proses penyerahan Pelabuhan Bintulu kepada Sarawak berada di landasan yang betul.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dalam kenyataan berkata, pelabuhan berkenaan akan diserah sepenuhnya kepada Kerajaan Negeri, akhir Disember tahun ini.

Garis masa yang jelas sudah ditetapkan antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan menerusi mesyuarat yang dipengerusikan beliau bersama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke di Putrajaya.

“Kami sudah menetapkan garis masa yang jelas dan kini ia berada di landasan yang betul supaya pelabuhan tersebut diserah sepenuhnya kepada Sarawak pada penghujung Disember 2024", katanya dalam satu kenyataan.

Mesyuarat itu juga diadakan bagi menangani isu-isu berbangkit dan memastikan peralihan status Pelabuhan Bintulu kepada Pelabuhan Negeri Sarawak berjalan lancar.

Ia mesyuarat pertama jawatankuasa bersama sejak Lembaga Pelabuhan Bintulu (Pembubaran) 2024 diluluskan Dewan Rakyat, 17 Julai lalu.

ROSLINA BINTI DIN