KUCHING, 22 Mac- Tindakan undang-undang akan diambil ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya terdapat pelanggaran peraturan keselamatan susulan kematian seorang pekerja ladang sawit di Bintulu yang dihempap 'bucket' traktor pada 15 Mac lalu.
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Sarawak dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya telah mengeluarkan tiga notis larangan terhadap syarikat ladang sawit terbabit selepas siasatan awal dilakukan.
Menurut JKKP Sarawak, mangsa, seorang warganegara Indonesia, 33, sedang menjalankan kerja pemindahan tandan buah sawit ke dalam 'bucket' traktor sebelum jentera itu tergelincir dan menghempapnya.
"Kejadian berlaku kira-kira pukul 1.00 tengah hari ketika pemandu traktor sedang mengundurkan jentera sambil menaikkan bucket berisi muatan sawit.
"Traktor itu hilang keseimbangan dan menghempap mangsa yang berdiri di sebelahnya. Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Bintulu sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan," menurut kenyataan.
JKKP Sarawak memaklumkan kes berkenaan disiasat bawah Seksyen 15 (1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994.
"Tindakan perundangan akan diambil ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya didapati terdapat perlanggaran pada Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514)," tambah kenyataan itu lagi.
Di bawah akta berkenaan, majikan yang didapati cuai dalam memastikan keselamatan pekerja boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM500,000.