KUCHING, 16 Mac – Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) cawangan Sarawak disaran bersiap sedia menghadapi revolusi kenderaan elektrik (EV) selaras dengan usaha kerajaan memperluaskan penggunaan teknologi hijau.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kerajaan merancang untuk memasang 10,000 stesen pengecas EV di seluruh negara bermula tahun hadapan, sekali gus menuntut perubahan dalam strategi pemasaran industri automotif.
“Tiga aspek utama perlu diberi perhatian, iaitu keselamatan tenaga (energy security), kelestarian (sustainability) dan kemampuan harga (affordability). Kalau kita bangunkan tenaga tetapi rakyat tidak mampu membayarnya, itu juga menjadi masalah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Iftar Pekema Sarawak di Dewan Hikmah, di sini.
Sehubungan itu, Pekema tidak lagi boleh bergantung kepada peranan sebagai pengimport kenderaan semata-mata, sebaliknya perlu turut serta dalam pembangunan infrastruktur stesen pengecas EV bagi menyokong ekosistem industri berkenaan.