
ROMPIN, 19 Januari – Seorang pejalan kaki maut selepas dirempuh sebuah motosikal di Jalan Dato Shahbandar, Bandar Tun Razak, di sini pagi tadi.
- Pejalan kaki, Hamimah Ali, 65, parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di Hospital Muadzam Shah.
- Motosikal ditunggang Othman Yaakob, 81, melanggar mangsa selepas penunggang mengalihkan pandangan ke kanan.
- Kecederaan penunggang di ibu jari kaki; kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Menurut Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi, mangsa, Hamimah Ali, 65, disahkan meninggal dunia ketika mendapat rawatan kecemasan di Hospital Muadzam Shah.
“Hasil siasatan mendapati motosikal yang ditunggang oleh Othman Yaakob, 81, sedang bergerak dari Felda Keratong 1 menghala ke gerai makan berhampiran Klinik Kesihatan Bandar Tun Razak.
“Manakala mangsa sedang berjalan kaki di bahu jalan dari arah yang sama.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, penunggang motosikal mengalihkan pandangan ke arah simpang sebelah kanan sambil meneruskan perjalanan ke gerai makan tiba-tiba melanggar mangsa.
“Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan di ibu jari kaki manakala Hamimah parah di bahagian kepala.
“Mangsa segera dikejarkan ke Hospital Muadzam Shah untuk menerima rawatan dan disahkan meninggal dunia pada pukul 11.42 pagi ketika mendapatkan rawatan,” katanya menerusi kenyataan.
Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.