Pejalan kaki maut dirempuh kereta di NKVE

FOTO POLIS SHAH ALAM

KUALA LUMPUR, 11 Januari – Seorang lelaki maut selepas bertindak melintas jalan secara tiba-tiba di Kilometer 9.4 Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Shah Alam, malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Seorang lelaki maut selepas melintas secara tiba-tiba di NKVE, Shah Alam, menyebabkan dia dilanggar kereta.
  • Kejadian berlaku sekitar 11.15 malam dan mangsa berusia dianggarkan antara 50 hingga 60 tahun.
  • Identiti mangsa masih belum dikenal pasti dan usaha mengesan sedang dijalankan.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987; saksi diminta hubungi Inspektor Muhammad Najib.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol menerusi kenyataan mengesahkan satu rakaman video kemalangan yang tular dan dimuat naik di media sosial susulan sebuah kereta merempuh seorang pejalan kaki.

Jelasnya, kejadian yang berlaku pada pukul 11.15 malam tadi mengakibatkan mangsa yang berusia lingkungan umur 50 hingga 60 tahun maut di tempat kejadian berikutan kecederaan di kepala.

“Kemalangan tersebut berpunca dari mangsa yang secara tiba-tiba melintas jalan dan berada di tengah lorong kedua paling kanan selepas susur Lebuhraya ELITE arah dari Klang ke Damansara lalu dilanggar kereta yang bergerak terus di laluan tersebut.

“Identiti mangsa masih lagi belum dikenal pasti dan usaha mengesan identiti mangsa masih lagi dijalankan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan dengan kejadian berkenaan boleh tampil ke hadapan bagi membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Muhammad Najib Abdul Rahman di talian 019-7757354.