
LANGKAWI, 15 Februari – Pejabat baharu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Langkawi menyediakan kemudahan lebih selesa bagi memudahkan urusan kebajikan penduduk setempat.
- Pejabat baharu JKM Langkawi menawarkan kemudahan lebih selesa untuk memudahkan urusan kebajikan penduduk setempat.
- Ketua Pengarah menggesa masyarakat menggunakan sepenuhnya bantuan dan perkhidmatan yang disediakan.
- JKM komited meningkatkan perkhidmatan kaunter dan lapangan untuk memastikan kebajikan rakyat menjadi keutamaan.
- Projek ubah suai siap 12 hari lebih awal dan melibatkan kos hampir RM2.6 juta.
Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata, masyarakat di Langkawi disaran memanfaatkan sepenuhnya bantuan dan perkhidmatan yang disediakan melalui pejabat baharu itu.
“Keadaan pejabat ini memberi keselesaan untuk mereka berurusan dan tempat parkir yang banyak memudahkan orang ramai mendapatkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.
Datuk Che Murad berkata, pihaknya komited menambah baik perkhidmatan di kaunter dan di lapangan bagi memastikan kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan.
Beliau berkata demikian kepada RTM selepas Majlis Penyerahan Projek Kerja-Kerja Pejabat JKM Daerah Langkawi di Kuah, hari ini.
Pejabat baharu dengan kos ubah suai hampir RM2.6 juta itu siap 12 hari lebih awal daripada tarikh ditetapkan iaitu 1 Februari 2026.
Majlis turut dihadiri Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kedah, Ir. Mohd Fisal Ismail, Jurutera Daerah, Ir. Ts. Khairul Azlan Abdullah serta wakil kontraktor.