KOTA BHARU, 20 Januari- Seorang pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) cedera selepas dirempuh sebuah kereta ketika sekatan jalan raya (SJR) Ops Pengarah JPJ Kelantan di hadapan Akademi Pengangkutan Jalan Wilayah Timur, Kota Bharu, malam tadi.
Kejadian kira-kira pukul 9.00 malam, ketika Pegawai Pemeriksa Kereta Motor AB29, Mohamed Azrin Abdul Wahab meminta pemandu kereta berhenti ke tepi jalan untuk pemeriksaan lanjut kenderaan yang dinaikinya.
Namun suspek sebaliknya memecut laju dan merempuh pegawai terbabit yang berada di hadapan kenderaan tersebut.
Pengarah JPJ Kelantan Mohd Misuari Abdullah berkata, tindakan pantas anggota tersebut berjaya mengelakkan daripada berlakunya kecederaan parah.
Menurutnya, kenderaan terbabit sudah berjaya dikesan dan dipercayai dipandu warga asing manakala laporan polis dibuat bagi membantu untuk menahan suspek.
"Kita dikejutkan dengan satu insiden anggota dirempuh oleh sebuah kereta jenis kancil warna perak. Kita dah kenal pasti laporan polis selepas ini kita akan susuli dengan laporan polis dan insya-Allah dengan bantuan pihak polis kita akan buat tangkapanlah dan kenderaan tersebut kita akan sita," katanya kepada media ketika ditemui selepas Ops Pengarah JPJ Kelantan dihadapan Akademi Pengangkutan Jalan Wilayah Timur, malam tadi.
Dalam operasi tersebut, sebanyak 569 kenderaan diperiksa dan sebanyak 188 notis dikeluarkan melibatkan 132 saman, 20 larangan penggunaan kenderaan, 20 arah periksa kenderaan dan 16 penahanan kenderaan.
Sementara itu, Mohd Misuari berkata, sepanjang tahun lalu pihaknya telah mengeluarkan sebanyak 78,271 notis atas pelbagai kesalahan antaranya, tiada Lesen Kenderaan Motor dan Insuran 29,279 notis, tiada lesesn memandu 22,803, kesalahan teknikal 13,621 kesalahan lain 12,658.
Bagi Ops Pemandu Warga Asing (PEWA) 2023, sebanyak 1,508 notis saman dikeluarkan dan menyita 432 kenderaan mengikut seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.