KUALA NERANG, 16 Januari - Pegawai Daerah di negeri Kedah diingatkan agar tidak sekadar merancang pembangunan di daerah masing-masing tetapi perlu juga memikirkan keperluan penduduk miskin yang memerlukan bantuan segera di kawasan mereka.
Sehubungan itu, Raja Muda Kedah Tengku Sarafuddin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin bertitah supaya kesemua pegawai daerah lebih aktif mendapatkan maklumat dan senarai golongan itu disamping mengenal pasti jenis bantuan yang bersesuaian kepada mereka.
Baginda turut menegaskan agensi lain termasuk pejabat penghulu, lembaga zakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu memainkan peranan yang sama.
"Saya harap penerima dapat rumah yang lebih selesa boleh hidup dalam keadaan yang lebih selesa sebab apabila kita tengok keadaaan mereka seperti ini kita bayangkanlah bagaimana kita nak duduk rumah macam ini, keluarganya macam mana, keadaan tandas, kita akan lihat dan akan memberi bantuan terbaiklah," titah Tengku Sarafuddin Badlishahkepada pemberita selepas pekenan mengadakan lawatan kesebuah rumah kediaman yang daif di kampung yang telah dibaik pulih.
Baginda yang juga Pengerusi Tabung Amanah Sultan Kedah bertitah peruntukan yang disalurkan adalah berterusan bagi memastikan nasib asnaf dan golongan miskin sentiasa dibela.
"Depa (mereka) baiki bilik baru dan tandas baru. Mak baru meninggal dunia, saya kerja kampung sahaja, kami ada empat adik beradil, anak saudara ada lima orang dan Alhamdulillah kepada baginda Raja Muda Kedah yang membantu kami. Saya doakan semoga pemberian yang diberikan dapat digunakan secara baik bagi keselesaan kepada kami sekeluarga, " luahan penerima bantuan Amanah Sultan Kedah, Mohd Haikal Othman.
Terdahulu, baginda berkenan menyampaikan sumbangan kepada 55 penduduk asnaf dan melawat Pejabat Pentadbiran Penghulu Mukim Tekai Kiri.