fb fb fb fb fb

Pegawai, anggota polis sebar maklumat sulit kerajaan akan digantung tugas - Shamsul Anuar

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah menghadiri Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) ke-53 Peringkat Kebangsaan 2024 di Padang Kawad Akademi Latihan RELA Malaysia (ALARM), Sungai Udang hari ini/Foto BERNAMA

SUNGAI UDANG, 3 Julai - Kerajaan akan mengambil tindakan tegas dengan menggantung tugas mana-mana pegawai dan anggota keselamatan termasuk polis sekiranya disyaki terlibat dalam penyebaran maklumat sulit kerajaan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, hukuman itu boleh dikenakan seperti yang termaktub di bawah Peraturan 43, 44 dan 45 Peraturan-peraturan Pegawai Am (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Oleh itu, beliau menasihati orang ramai agar merujuk kepada saluran yang tepat mengenai isu berbangkit.

"Rujuklah pada saluran dan maklumat yang tepat itu lebih baik apa keadaan sekali pun rujuklah pada maklumat kementerian supaya rakyat dapat maklumat dan jugak sumber yang sah dan sahih.

"Jadi apa juga perkara yang melanggar undang-undang tentu tindakan diambil berdasarkan undang-undang sedia ada," katanya ketika diminta mengulas susulan gambar mayat kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin yang tersebar di media sosial.

Terdahulu beliau merasmikan Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) ke-53 Peringkat Kebangsaan 2024 di Padang Kawad Akademi Latihan RELA Malaysia (ALARM), Sungai Udang di sini hari ini.

Sejak Ahad lalu, gambar keadaan mayat kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin dipercayai ketika proses bedah siasat mula tersebar di media sosial.

Dua gambar berkenaan dimuat naik di aplikasi telefon pintar, Telegram.

Kedua-dua gambar berkenaan memaparkan keadaan kanak-kanak berkenaan selepas ditemui di anak sungai berhampiran kediamannya di Apartmen Idaman, Damansara Damai.

Sebelum ini, kertas siasatan pembunuhan kanak-kanak itu juga tersebar di aplikasi yang sama.

 

GRACE AISYAH KEDAYAN