fb fb fb fb fb

Pedofilia di MRSM, saksi diminta tampil buat laporan

Foto BERNAMA

KOTA BHARU, 1 April- Polis Kelantan berjaya menahan 940 individu atas pelbagai kesalahan dalam Operasi Tapis Bersepadu di seluruh negeri itu melibatkan rampasan dadah bernilai lebih RM763,000.

Operasi sepuluh hari yang berakhir semalam itu, melibatkan Akta Dadah Berbahaya (ADB ) 1952, Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) Dan Akta Racun 1952.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata tangkapan melibatkan 901 warga tempatan termasuk tiga penjawat awam dan dua pelajar sekolah serta 39 warga asing.
 
"Bagi tempoh 21 hingga 31 Mac, iaitu semalam kita telah berjaya membuat beberapa serbuan.

"Hasilnya kita telah membuka sebanyak 823 kes yang melibatkan 940 tangkapan.

"Jadi, seminggu 940 tangkapan telah dibuat dan semalam sahaja kita tangkap lebih 80 orang," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini.
 
Muhamad Zaki berkata nilai keseluruhan rampasan termasuk sitaan berjumlah hampir RM880,000.

Dalam pada itu, tegas Muhamad Zaki, pihaknya memberi jaminan siasatan berhubung kes pedofilia melibatkan seorang guru Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Tumpat selesai dalam tempoh sebulan.

Katanya, seramai empat saksi telah dipanggil ketika ini bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

Menurutnya, pada masa sama, pihaknya telah memanggil saksi-saksi lain seperti pelajar dan guru-guru yang telah bertukar, berkemungkinan mempunyai maklumat mengenai kes tersebut.

"Kalau sesiapa yang mempunyai maklumat contohnya di sekolah tersebut guru-guru sendiri atau 'student' (pelajar) lain yang rasa perlu membantu beri 'statement' (kenyataan) 'come forward' (tampil ke hadapan).

"Kita akan rahsiakan, kita nak tahu sahaja dan kita boleh buat keputusan, kita tak nak biarkan, orang yang ditomah, orang yang menomah duduk dalam suasana tidak selesa, biar kita selesaikan," katanya.

Media sebelum ini, melaporkan polis Kelantan mengesahkan menerima laporan berkaitan seorang guru MRSM Tumpat yang didakwa melakukan aktiviti pedofilia terhadap seorang pelajar lelaki.

Muhamad Zaki berkata laporan itu dibuat oleh pelajar berkenaan dan polis melakukan siasatan secara telus serta tidak berpihak kepada mana-mana individu.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM