fb fb fb fb fb

PEDi, MPP digerakkan bantu daftar PADU

Fahmi Fadzil/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 6 Januari- Pasukan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) dan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) akan digerakkan bagi membantu masyarakat membuat pendaftaran dan mengemas kini maklumat dalam Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Selain itu, Ahli Parlimen juga boleh menggerakkan jentera mereka di lapangan bagi menggalakkan proses pendaftaran PADU.

Fahmi berkata, perkara itu dilihat berupaya membantu bagi mencapai sasaran 29 juta warganegara Malaysia mendaftar PADU menjelang 31 Mac depan.

"Bagi kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kita ada mekanisme MPP Majlis Perwakilan Penduduk dan tempat lain juga ada struktur serupa. Maka, saya percaya selain PEDi, kita boleh kerahkan jentera-jentera ini untuk bantu komuniti.

"Saya lihat mungkin perlu ada sesi pendidikan atau latihan yang boleh diberikan. Sekarang ini tempohnya baharu sahaja seminggu dibuka, jadi yang celik IT dah berjaya isi tetapi untuk capai sasaran menjelang hujung Mac. Saya lihat bukan hanya bergantung pada PEDi untuk membantu tetapi ahli parlimen," katanya kepada pemberita selepas Program Jualan Termurah, Khidmat Demi Rakyat yang berlangsung di Tapak Parkir PPR Kerinchi di ibu negara.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI