KUALA LUMPUR, 19 Julai - Polis Diraja Malaysia (PDRM), hari ini mengumumkan pelantikan lima ketua polis negeri baharu dan pertukaran 18 pegawai kanannya berkuat kuasa 18 Ogos depan.
Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Kamaruzaman Abdullah dalam satu kenyataan memaklumkan, antara yang terbabit ialah Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Jabatan Pengurusan Bukit Aman Datuk Azizee Ismail yang dilantik sebagai Ketua Polis Pulau Pinang.
Manakala, Komandan Maktab PDRM Kuala Lumpur Datuk Pahlawan Shazeli Datuk Kahar pula dilantik sebagai Ketua Polis Selangor, diikuti Timbalan Pengarah Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Fadil Marsus yang dilantik sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur.
"Turut terbabit ialah pertukaran melibatkan Timbalan Ketua Polis Kedah Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP) Adzli Abu Shah yang dilantik sebagai Ketua Polis Kedah yang baharu, sementara Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan/Perjawatan) Bukit Aman DCP Ab Rahaman Arsad dilantik sebagai Ketua Polis Johor yang baharu," menurut kenyataan itu.
Kelima-lima pegawai kanan berkenaan memangku pangkat Komisioner Polis (CP).
PDRM turut melakukan pertukaran 18 pegawai kanan lain melibatkan Ketua Lesen Pasukan Urus Setia KPN (Lesen Senjata Api) Bukit Aman Datuk Md Nazri Zawawi yang dilantik sebagai Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan/Perjawatan) Bukit Aman dengan memangku pangkat DCP.
Ia diikuti dengan Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Bukit Aman Datuk Mohd Sukri Kaman yang dilantik sebagai Timbalan Pengarah Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dengan memangku pangkat DCP.
"Komander Briged Sarawak, Pasukan Gerakan Am Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Penolong Kanan Pesuruhjaya (SAC) Dr Che Ghazali Che Awang dilantik sebagai Komandan Maktab PDRM Kuala Lumpur dengan memangku pangkat DCP.
"Timbalan Ketua Polis Perlis SAC Baderulhisham Baharudin dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Kedah manakala Ketua Cawangan Khas Sarawak SAC Mohd Taufik Toh Abdullah dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah E6 Cawangan Khas Bukit Aman dengan kedua-duanya memangku pangkat DSP," tambah kenyataan itu.
Sementara itu Ketua Jabatan Pengurusan Kuala Lumpur SAC Suffian Sulaiman dilantik sebagai sebagai Timbalan Ketua Polis Terengganu yang baharu.