fb fb fb fb fb

PDRM laksana operasi ambang tahun baharu besar-besaran seluruh negara

Foto Hiasan / Bernama

KUALA LUMPUR, 31 Disember - Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan operasi bersepadu ambang tahun baharu secara besar-besaran di seluruh negara melibatkan semua kontinjen serta daerah bermula malam ini hingga 5 pagi esok.

Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata operasi melibatkan 4,378 pegawai dan anggota PDRM selain pelbagai agensi penguat kuasa seperti Jabatan Pengangkutan Jalan, Agensi Antidadah Kebangsaan, Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Imigresen Malaysia.

“Operasi bertujuan menguatkuasakan undang-undang dan peraturan lalu lintas dengan memantau pergerakan aliran trafik di lokasi tumpuan selain membanteras aktiviti samseng jalanan serta mencegah pemanduan di bawah pengaruh alkohol atau dadah yang boleh mendatangkan risiko kemalangan atau halangan di jalan raya.

“Konsep penugasan terbahagi kepada dua iaitu kawalan lalu lintas bagi kelancaran aliran trafik sempena sambutan tahun baharu dan operasi penguatkuasaan ambang tahun baharu,” katanya menerusi kenyataan.

Tambah Mohd Azman, terdapat 17 lokasi sambutan ambang tahun baharu di Lembah Klang iaitu 10 di Kuala Lumpur dan selebihnya di Selangor.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN