fb fb fb fb fb

PBT perlu segera perkemas senarai inventori pokok - Kor Ming

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming

SHAH ALAM, 26 Mei - Semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu segera memperkemas senarai inventori pokok di kawasan pentadbiran masing-masing.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata ini bagi memudahkan proses kenal pasti identiti dan status pokok termasuk yang berisiko mengancam keselamatan awam.

“Sebagai contoh, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah ada (inventori) jadi mereka tahu pokok mana, jenis apa, mana yang sihat atau perlu dipangkas ikut jadual.

"Itu sebabnya kenapa kita lancarkan buku panduan 200 jenis pokok yang sesuai untuk ditanam di tepi jalan dan kita akan edarkan buku panduan itu kepada setiap PBT agar dapat dijadikan rujukan berdasarkan penemuan saintifik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan majlis penutup Forum Perbandaran Hijau 2024, di sini.

Tambah Kor Ming, setiap PBT turut disaran mempunyai doktor pokok atau 'arborist' bagi menambah baik pengurusan landskap.

Ke arah itu, setiap petugas landskap PBT perlu mengikuti kursus arborist anjuran Jabatan Landskap Negara, secepat mungkin.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN