fb fb fb fb fb

PBT perlu rancang pengurusan aliran air lebih baik, elak banjir kilat

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof

PETALING JAYA, 26 Oktober - Pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu menjadikan pengurusan aliran air dalam perancangan pembangunan bandar lestari sebagai antara keutamaannya.

Kesiapsiagaan itu bagi mengelakkan risiko banjir kilat terutama di kawasan bandar berpenduduk pesat.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pengurusan aliran air penting berikutan faktor perubahan iklim yang tidak menentu sehingga mengakibatkan bencana alam.

Beliau turut menjelaskan pembinaan bandar lestari mahupun bandar pintar perlu merangkumi alat pembangunan mampan dalam merancang pembangunan berkenaan di sesebuah kawasan.

"Daripada segi bekalan air, satu bekalan air kepada penduduk setempat dan pada masa sama bagaimana kita hendak menguruskan air supaya air yang diguna dikeluarkan dapat diproses balik, diguna semula dan ia tidak akan menjejaskan banjir kepada aliran air ke seluruh kawasan itu," kata Fadillah.

Beliau berucap pada Majlis Perasmian Konvensyen PBT 2024, di sini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu.

Fadillah berkata, antara faktor lain yang perlu diutamakan adalah penggunaan tenaga hijau dan sistem pengangkutan pintar.

Jelasnya, PBT juga perlu merangka pelan yang mesra keluarga, warga emas, dan golongan orang kurang upaya (OKU) khusus bagi memastikan pembangunan bandar lebih inklusif dan lestari.

TETITIA YUSOFF