fb fb fb fb fb

PBT Melaka digesa laksana MIB secepat mungkin - Ab Rauf

Foto FB Menteri Besar

AYER KEROH, 24 November- Semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Melaka diarah melaksanakan Melaka Industrial Booster (MIB) selewat-lewatnya akhir suku pertama tahun depan, dalam usaha menjadikan negeri itu mesra pelabur.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, daripada empat PBT di negeri itu, hanya Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) yang telah melaksanakan kaedah berkenaan.

Beliau berkata MIB merupakan satu baharu yang pantas bagi pengeluaran permit pembinaan daripada 180 hari kepada hanya 30 hari sahaja.

Katanya, pembaharuan proses kerja itu melibatkan proses permohonan pelan pemajuan, kelulusan pembinaan, pengeluaran sijil penyiapan dan pematuhan (CCC) dan lesen operasi perniagaan.

"Kalau dulu proses untuk mendapat kelulusan ini mengambil masa 180 hari. Maka, saya telah minta supaya proses dalam kaedah mesra pelabur ini mesti dipercepatkan. Jadi, inisiatif ini telah dilaksanakan oleh MPHTJ.

Mereka menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi memastikan proses ini dapat dipendekkan. Hasilnya, mereka telah dapat mengeluarkan satu panduan berhubung perkara itu dengan kerjasama semua agensi, mengambil masa hanya 30 hari," kata Ab Rauf kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri Melaka anjuran MPHTJ di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh.

Projek rintis MIB yang dilaksana MPHTJ kini dalam tempoh pelaksanaan dan dijangka selesai awal tahun 2024.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM