
ALOR SETAR, 15 Februari – Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diseru untuk bertindak lebih sistematik, konsisten dan berani dalam memerangi rasuah, terutamanya di peringkat kerajaan tempatan yang menjadi barisan hadapan dalam menyediakan perkhidmatan kepada rakyat.
- PBT mesti bertindak sistematik, konsisten dan berani untuk memerangi rasuah dalam perkhidmatan harian.
- Rasuah berlaku kerana garis panduan tidak jelas, semakan lemah dan tafsiran berbeza antara pegawai.
- Unit Integriti perlu proaktif: kenal pasti pola risiko, nilaikan kelemahan dan cadang pembetulan awal.
- Perketatkan proses kelulusan, rekod setiap permohonan dan jejak keputusan untuk mengurangkan rundingan belakang tabir.
Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Kedah, Datuk Nazli Rasyid Sulong menegaskan risiko rasuah di peringkat PBT bukan sesuatu yang tersembunyi, sebaliknya wujud dalam proses harian termasuk kelulusan pelan pembangunan, pemberian lesen perniagaan, pelaksanaan penguatkuasaan dan pengurusan perolehan.
Menurut beliau, setiap keputusan yang dibuat di peringkat PBT membentuk persepsi masyarakat terhadap integriti sistem pentadbiran negara.
“Rasuah boleh berlaku apabila garis panduan tidak jelas, semakan tidak berlapis dan tafsiran berbeza antara pegawai.
“Kelemahan dalam pengurusan perolehan serta konflik kepentingan yang tidak diisytihar secara tegas turut membuka ruang penyelewengan”, ujar beliau.
Tambah Datuk Nazli, risiko yang tidak diurus secara sistemik bukan sahaja menjejaskan reputasi institusi, malah boleh menghakis kepercayaan rakyat terhadap pentadbiran kerajaan tempatan.
Beliau menekankan kepimpinan PBT tidak boleh menunggu sehingga sesuatu risiko bertukar menjadi kes siasatan, sebaliknya perlu menutup kelemahan lebih awal.
Beliau berucap pada Konvensyen Integriti dan Pencegahan Rasuah Kerajaan Tempatan Tahun 2026 di Alor Setar, anjuran SPRM Kedah dengan kerjasama Majlis Bandaraya Alor Setar.
Datuk Nazli turut menegaskan usaha membanteras rasuah di peringkat PBT tidak bermula dengan tangkapan, tetapi bermula dengan pembetulan sistem.
Unit Integriti yang diwujudkan di setiap agensi awam termasuk kerajaan tempatan perlu berfungsi secara proaktif dan bukan sekadar menerima aduan, tetapi juga mengenal pasti pola risiko, menilai kelemahan proses dan mencadangkan penambahbaikan sebelum ia menjadi kes.
Jelasnya, proses kelulusan yang mempunyai ruang budi bicara tinggi perlu diperketatkan dan tidak boleh bergantung kepada seorang individu tanpa semakan.
Beliau menambah, apabila setiap permohonan direkod secara sistematik dan setiap keputusan boleh dijejak, ruang rundingan belakang tabir akan semakin sempit, sekali gus memperkukuh integriti pentadbiran kerajaan tempatan.