GEORGE TOWN, 17 Disember- Penganjuran Penang Bridge International Marathon 2023 (PBIM 2023) mendapat sambutan meriah meski hujan renyai, awal pagi tadi.
Acara sukan itu mencatatkan penyertaan hampir 20,000 peserta yang mengambil bahagian dalam tiga kategori iaitu Full Marathon (42km), Half Marathon (21km) dan larian 10km.
Menurut Pengerusi Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai, PBIM merupakan acara sukan tahunan terbesar di utara Semenanjung sekali gus menarik kehadiran pelancong asing ke negeri pulau mutiara itu.
"Kita mahu menggalakkan orang ramai untuk bersukan antaranya melalui platform larian maraton ini. Penyertaan yang sangat ramai setiap tahun.
Ia juga antara acara sukan dan sosial yang dinantikan oleh semua penggemar sukan maraton baik dalam negara dan luar negara," kata Wong kepada pemberita selepas larian PBIM 2023, pagi tadi.
Tambah Wong, selain mementingkan aspek kesihatan, kerajaan negeri turut menyokong penganjuran acara itu kerana dapat memacu sektor pelancongan negeri menerusi kehadiran pelari antarabangsa dan domestik.
Usaha itu juga akan memberi kesan langsung terhadap ekonomi Pulau Pinang.