JOHOR BAHRU, 8 Oktober - Majikan di Johor perlu mematuhi titah Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim untuk menyediakan waktu solat Jumaat secukupnya bagi pekerja beragama Islam bermula 1 Januari tahun hadapan.
Ia berikutan pertukaran waktu cuti hujung minggu dari hari Jumaat dan Sabtu kepada Sabtu dan Ahad.
Exco Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Lee Ting Han berkata, tindakan tegas akan diambil sekiranya pihak majikan ingkar terhadap titah tersebut.
"Mereka ada lebih ruang untuk bersama-sama dengan anak-anak mereka pada hari Sabtu dan Ahad dan ini sekali gus dapat mengurangkan isu tidak hadir ke sekolah pada waktu Ahad terutamanya di kawasan luar bandar.
"Saya secara peribadi ada terima beberapa maklum balas daripada sektor swasta, mereka mengalu-alukan cadangan menyambut baik titah Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim, mereka akan menyahut titah tersebut," kata Lee Ting Han.
Beliau ditemui pemberita selepas majlis perasmian Green Legacy Johor Summit 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini.
Sesi libat urus bersama-sama Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan pemain industri akan dilakukan dalam masa terdekat bagi memastikan titah berkenaan dapat dilaksanakan dengan lebih efektif.
Pertukaran cuti hujung minggu bukan sahaja disambut baik sektor swasta, malahan juga golongan ibu bapa dan perbankan di negeri itu.