BARCELONA, 26 Februari- Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berharap isu membabitkan kaum, agama dan institusi diraja (3R) tidak disentuh oleh Ahli-ahli Parlimen, seiring titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 hari ini.
Pada masa sama, beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai menegaskan, kestabilan politik dalam negara amat penting kerana ia akan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang unggul.
"Parlimen harus jadi cerminan kepada rakyat dan menjadi tempat kita luahkan aspirasi dan harapan rakyat, bukan untuk kita bertikam lidah semata-mata untuk menjadi popular.
"Peringatan Tuanku juga mengenai elak daripada menyentuh isu-isu 3R, ini bagi saya sangat-sangat penting demi keharmonian negara kita supaya rakyat dapat hidup rukun, aman damai.
"(Justeru) kita dapat beri fokus kepada usaha untuk bangunkan negara bersama," katanya kepada RTM dan BERNAMA ketika diminta mengulas mengenai titah Yang di-Pertuan Agong pada pembukaan sesi Parlimen.
Sultan Ibrahim mengingatkan segenap rakyat agar tidak memainkan isu 3R demi keamanan negara.
Terdahulu, Fahmi mengajak semua pihak untuk bersama-sama menghayati titah Sultan Ibrahim sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 itu.
“Kestabilan adalah asas penting untuk membina semula negara. Daulat Tuanku,” kata jurucakap kerajaan itu menerusi Facebook dengan disertakan perkongsian infografik titah Sultan Ibrahim yang tidak akan melayan cubaan menggugat kestabilan politik negara.
ARTIKEL BERKAITAN
Ketepi sengketa politik, ahli Dewan Rakyat sambut baik Titah Agong
Tingkat kecekapan, saya tidak suka dengan sistem yang banyak 'red tape'- Agong
Titah Agong: Rangka dasar perpaduan rakyat yang kukuh dan harmoni
Pembukaan Sidang Parlimen 2024, titah sulung YDP Agong Sultan Ibrahim jadi tumpuan