
KUALA LUMPUR, 4 Februari – Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke-24, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman, memberi jaminan untuk melaksanakan pembersihan menyeluruh atau total clean-up dalam ATM selain tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran tatakelola.
- PAT jamin laksanakan pembersihan menyeluruh dalam ATM tanpa kompromi terhadap sebarang pelanggaran tatakelola.
- Kepimpinan ATM akan perbetulkan kelemahan dikenal pasti dan beri kerjasama penuh serta telus dengan agensi kerajaan.
- Amanat dan pelan tindakan strategik akan dipersembah segera untuk mengukuhkan integriti serta hala tuju ATM.
Beliau berkata isu dan kontroversi yang timbul kebelakangan ini menjadi peringatan serius kepada kepimpinan serta pengurusan ATM untuk melakukan pembersihan secara berstruktur dan berlandaskan undang-undang.
“Kita akur dengan keprihatinan dan kerisauan rakyat yang juga merupakan pemegang taruh besar kepada keselamatan negara ini… apa yang telah berlaku itu adalah sebagai satu peringatan kepada pengurusan di dalam Angkatan Tentera ini terutama yang melibatkan tatakelola, integriti, perolehan, pembangunan dan juga pengurusan kewangan,” katanya dalam sidang akhbar bersempena memulakan tugas di Kementerian Pertahanan, hari ini.
“Jadi apa yang telah berlaku itu telah diambil tindakan dalam tempoh sebulan yang lalu oleh kementerian dan saya berterima kasih kepada Yang Berhormat Menteri Pertahanan kerana telah menggariskan dalam amanat beliau bagi tahun 2026 perkara penting, strategik dan pelan tindakan yang perlu dilaksanakan untuk menangani isu-isu yang berlaku ini,” katanya.
Beliau menegaskan kepimpinan tertinggi ATM akan terus bergerak ke hadapan dengan memperbetulkan segala kelemahan yang dikenal pasti serta memberi kerjasama penuh dan telus kepada semua agensi kerajaan berkaitan.
“Kita akan memperbetulkan kelemahan yang berlaku dan kita akan beri kerjasama padu serta telus dengan semua agensi kerajaan yang terlibat bagi membersihkan nama Angkatan Tentera Malaysia,” katanya.
Menurut beliau situasi semasa perlu dilihat sebagai ruang muhasabah dan peluang memperkukuh organisasi memandangkan ATM merupakan entiti yang berdaya tahan.
Datuk Malek Razak turut memaklumkan satu amanat akan disampaikan dalam masa terdekat bagi memperincikan pelan tindakan dan langkah strategik untuk menangani isu berkenaan selain menggariskan hala tuju ATM sebagai pasukan utama pertahanan negara yang dipercayai rakyat.