fb fb fb fb fb

PAT 2024 diyakini mampu lonjakkan industri pelancongan Perlis

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli merasmikan PAT 2024 di sini, hari ini.

ARAU, 2 Mac- Penganjuran Pesta Angin Timur Perlis 2024 (PAT 2024) yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam di Kampung Lat Seribu, Tambun Tulang, di sini diyakini mampu melonjakkan industri pelancongan negeri itu.

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata ia merupakan antara agenda utama kempen Tahun Melawat Perlis 2024-2025.

Beliau berkata PAT juga dilihat semakin mendapat sambutan daripada pelancong antarabangsa selepas memasuki edisi ke-12 penganjurannya pada tahun ini.

“Pesta Angin Timur Perlis 2024 kali ini mempunyai kelainan dalam penganjurannya iaitu dengan adanya penggunaan sistem pendigitalan. Di samping itu, terdapat elemen-elemen atau aktiviti baharu yang turut diperkenalkan,” katanya ketika berucap merasmikan PAT 2024 di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Roslan Tan Sri Abdul Rahman dan Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perlis Norazlin Nordin.

Ujar Mohd Shukri, PAT 2024 merupakan permulaan kepada program -program berskala besar lain yang bakal di anjurkan sepanjang tahun ini di Perlis.

Sementara itu, beliau berkata Perlis merekodkan kehadiran pelancong sebanyak 4.2 juta orang tahun lepas berbanding 2.9 juta pelancong pada tahun sebelumnya.

Beliau optimis sasaran 3.5 juta ketibaan pelancong pada 2024 bersempena Tahun Melawat Perlis dapat direalisasikan.

Dalam pada itu, aktiviti pembuatan garam belacan teramai melibatkan 1,000 orang daripada pelbagai kaum yang berlangsung hari ini telah mendapat pengiktirafan The Malaysia Book of Records (MBOR).

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI