NIBONG TEBAL, 22 Jun- Satu pasukan khas memantau isu 3R (agama, raja, kaum) dibentuk bagi memastikan tindakan pantas dapat diambil ke atas pelaku, sekali gus membendung penyalahgunaan media sosial, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Fahmi berkata, perbezaan pendapat tidak menjadi kesalahan, namun ia tidak seharusnya dijadikan alat mengherdik, menimbulkan fitnah dan tohmahan.
"Meneliti isu berkaitan penyalahgunaan media sosial terutama dalam isu 3R. Telah ada kata putus... pembentukan satu pasukan yang akan meneliti dan mengambil tindakan yang pantas.
"Niatnya untuk pastikan media sosial tidak disalah guna sebar perkara berkaitan 3R kerana Malaysia adalah sebuah negara aman damai, hidup rukun bersatu padu, pelbagai kaum (dan) berbilang agama," katanya selepas rakaman Program 'Sana Sini Sungai Bakap' di Konti Mini MutiaraFM di Kompleks Rakan Muda Seberang Perai Selatan, di sini.
Jelas beliau, keputusan menubuhkan pasukan khas itu dicapai menerusi pertemuan antara Jabatan Peguam Negara (AGC), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), baru-baru ini.
Terdahulu, Fahmi hadir memberikan sokongan kepada calon Kerajaan Perpaduan Dr Joohari Ariffin pada proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap di sini hari ini.