PUTRAJAYA, 12 Disember - Pasukan khas akan diwujudkan bagi mempercepatkan kelulusan perolehan untuk pasukan keselamatan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican telah ditugaskan untuk memantau pasukan itu bagi memastikan semua kelulusan dipercepat.
"Minggu lalu, saya ada perbincangan santai dengan rakan di Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri dan badan penguatkuasaan, tentunya semua menuntut perbelanjaan lebih besar kerana kelengkapan pertahanan terbiar.
“Sistem perolehan agak lemah, nama sistem perolehan tetapi tidak diperoleh dia banyak ketirisan. Jadi faktanya apa? Ia harus dirombak dan lebih transparent, biar golongan profesional berikan pandangan dan kita nilai dari segi Kementerian Kewangan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan Bersama Menteri Kewangan, di sini.
Tambah Anwar yang juga Menteri Kewangan, meskipun memasuki akhir tahun, kelulusan perolehan untuk pasukan keselamatan negara wajib disegerakan untuk melaksanakan tugas dengan baik.