fb fb fb fb fb

Pasport wanita tidak fasih Bahasa Melayu sudah diperbaharui- KP Imigresen

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 24 April- Pasport seorang wanita yang didakwa tidak fasih berbahasa Melayu sudah pun diperbaharui oleh Jabatan Imigresen UTC Pulau Pinang pada 22 April lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh menegaskan, pegawai imigresen tidak dibenarkan untuk menolak sebarang permohonan hanya kerana pelanggan gagal menguasai bahasa kebangsaan.

“Jabatan Imigresen Malaysia merujuk kepada laporan media yang disiarkan pada 22 April 2024 berkaitan kekecewaan seorang lelaki tidak dapat memperbaharui pasport ibunya kerana tidak boleh berbahasa Melayu di UTC Pulau Pinang.

"Jabatan ini ingin menegaskan bahawa Pegawai-pegawai Imigresen tidak dibenarkan untuk menolak sebarang permohonan hanya kerana pelanggan gagal menguasai bahasa kebangsaan.

"Namun demikian, ingin saya perjelaskan bahawa dalam melaksanakan tanggungjawab, Pegawai-pegawai Imigresen akan melaksanakan semakan rawak dari pelbagai aspek bagi mengesahkan permohonan. Walau bagaimanapun, semakan ini perlu dilakukan secara profesional dan berhemah," katanya dalam kenyagtaan tersebut.

Tambah Datuk Ruslin, JIM komited dalam memberikan perkhidmatan yang baik kepada pelanggan dan sentiasa mengingatkan semua pegawai untuk menyantuni pelanggan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Jabatan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE