fb fb fb fb fb

Pasca PRK DUN KKB: Rakyat masih percaya Kerajaan Perpaduan kata Fadillah

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR, 12 Mei - Kemenangan calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) semalam bukti kestabilan pakatan kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata ini sekali gus mengesahkan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan Kerajaan Perpaduan.

"Kemenangan ini seharusnya menjadi pemangkin kepada kerajaan supaya bekerja lebih kuat memberikan khidmat terbaik untuk rakyat.

"Kita nak strukturkan semula supaya kita mempunyai kemampanan dari segi kewangan dan dengan kemampanan itu kita dapat fokus bangunkan negara dari segi projek serta bantuan rakyat," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menghadiri program kejohanan golf amal anjuran Majlis Datuk Dato' Malaysia (MDDM) di Bukit Kiara hari ini.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Sekretariat Kerajaan Perpaduan memberi jaminan Kerajaan Perpaduan akan terus menumpukan aspek pembangunan ekonomi dan membantu rakyat sebagai agenda utama kerajaan.

Terdahulu, Pang Sock Tao, 31, yang mewakili Kerajaan Perpaduan menang dengan majoriti 3,869 undi menewaskan tiga pencabarnya Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Nyau Ke Xin (Bebas) dan Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia).

PRK itu diadakan susulan kekosongan kerusi DUN itu selepas kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, akibat kanser pada 21 Mac lepas.

GRACE AISYAH KEDAYAN