KUALA LUMPUR, 8 Mei - Pasaran getah tempatan ditutup tinggi hari ini sejajar dengan aliran meningkat di pasaran niaga hadapan getah serantau dan kenaikan harga minyak.
Peniaga berkata sentimen turut didorong oleh data pekerjaan Amerika Syarikat (AS) yang lebih kukuh daripada jangkaan menunjukkan daya tahan ekonomi AS.
Menurut laporan, pertumbuhan pekerjaan AS meningkat kepada 253,000 pada April manakala kenaikan gaji yang meningkat dengan kukuh, menunjukkan kekuatan pasaran buruh yang berterusan dan boleh menyebabkan Rizab Persekutuan AS mengekalkan kadar faedahnya yang tinggi untuk lebih lama berikutan ia berusaha untuk mengawal inflasi.
Dalam negara, gelombang haba yang berterusan telah menjejaskan hasil getah, kerana ia telah menyebabkan daun pokok getah gugur dan mengurangkan pengeluaran lateks.

(Foto fail)
Dalam perkembangan lain, peserta pasaran akan memantau data inflasi AS serta petunjuk ekonomi dari China yang akan dikeluarkan pada minggu ini.
Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) naik tujuh sen kepada 603.5 sen sekilogram manakala susu getah pukal meningkat 2.5 sen kepada 484.5 sen sekilogram.
Pada pukul 5 petang, harga rujukan LGM bagi getah fizikal SMR 20 berada pada 611.5 sen sekilogram manakala susu getah pukal sebanyak 486.0 sen sekilogram. -BERNAMA