fb fb fb fb fb

Pasar Tani: FAMA Melaka optimis capai jualan RM8 juta

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka menyasarkan nilai jualan sebanyak RM8 juta di semua Pasar Tani seluruh negeri sepanjang tahun ini / Foto RTM

MASJID TANAH, 1 Mac – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka menyasarkan nilai jualan sebanyak RM8 juta di semua Pasar Tani seluruh negeri sepanjang tahun ini.

Pengarahnya, Nor Azhar Abdul Hamid berkata sasaran tersebut bakal dicapai menerusi lapan Pasar Tani yang beroperasi di tiga daerah utama di Melaka.

“Sehingga Disember 2024, nilai jualan keseluruhan Pasar Tani di Melaka adalah sebanyak RM7.081 juta. Daripada jumlah itu, Pasar Tani Alor Gajah mencatat jualan tertinggi sebanyak RM1.6 juta.

“Bagi tahun ini, kami menyasarkan peningkatan kepada RM8 juta dengan pelbagai inisiatif yang akan dijalankan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Semarak Ramadan dan Sambutan Ulang Tahun ke-40 Pasar Tani, di sini.

Nor Azhar turut memaklumkan Pasar Tani Pra Syawal akan diadakan seminggu sebelum Aidilfitri di sembilan lokasi merangkumi seluruh daerah di negeri itu bagi memudahkan orang ramai mendapatkan keperluan persiapan raya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN