fb fb fb fb fb

Pasar Kedai Payang 1 dibuka secara berperingkat Julai ini

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) Datuk Rosli Latif melawat Kompleks baharu Pasar Kedai Payang 1, di Kuala Terengganu hari ini

KUALA TERENGGANU, 28 Mei- Kompleks baharu Pasar Kedai Payang 1 yang siap dibina pada 19 Julai tahun lalu akan mula dibuka secara berperingkat.

Sebagai permulaan sebanyak 83 lot kedai di tingkat bawah akan memulakan operasi pada 1 Julai ini yang melibatkan peniaga emas, cenderahati serta pelbagai.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) Datuk Rosli Latif berkata, bagi peniaga lain mereka akan memulakan operasi juga secara berperingkat, selepas kerja-kerja pengubahsuaian selesai dilakukan sebelum akhir tahun ini.

Ini termasuk peniaga batik, songket, tembaga serta kedai makan dan minum yang akan ditempatkan di tingkat satu.

Rosli berkata keseluruhan 444 peniaga akan beroperasi di pasar itu dan akan menjadi pasar kesenian, kebudayaan dan warisan.

Pasar Kedai Payang 2 pula akan menempatkan 580 peniaga setelah penyusunan semula bagi peniaga barangan basah seperti ayam, daging, ikan dan sayur, barangan runcit dan keropok.

"Kita sudah setuju menjadikannya sebagai pasar harian, maknanya kedai runcit jualan basah kedai makan yang ada sekarang kita tidak pindahkan. Kedai-kedai sayur yang ada di khemah kita akan buat masuk dalam jual kedai. Begitu juga kedai buah kita akan bawa masuk dalam ruang yang jual buah. Sekarang ini kita akan buat landskap untuk kita buat persekitaran yang lebih teratur untuk kemudahan orang awam berjalan kaki dengan lebih selesa," kata Rosli kepada pemberita dalam satu sidang media khas, di sini.

Kedua- dua pasar itu dijangka akan beroperasi sepenuhnya bermula 1 Januari 2025.

TETITIA YUSOFF