Pasar Awam dan Kompleks Makanan Seberang Jaya bernilai RM20 juta beroperasi sepenuhnya

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow

SEBERANG JAYA, 7 Februari – Pasar Awam dan Kompleks Makanan Seberang Jaya bernilai RM20 juta yang mula beroperasi pada April tahun lalu dilengkapi sebanyak 253 ruang niaga bagi memberi kemudahan lebih selesa kepada peniaga tempatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Memiliki 253 ruang niaga untuk menyediakan kemudahan lebih selesa dan persekitaran perniagaan teratur kepada peniaga tempatan.
  • Menyediakan tapak niaga berlesen dan kadar sewaan minimum supaya peniaga dapat berniaga secara sah dan berpatutan.
  • Lokasi strategik meningkatkan kehadiran pelanggan serta menggantikan pasar lama yang tidak lagi memenuhi keperluan semasa.

Kemudahan baharu itu membolehkan peniaga menjalankan perniagaan dalam persekitaran lebih teratur selain menikmati kadar sewaan minimum.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata pasar berkenaan turut menyediakan tapak niaga berlesen, sekali gus membolehkan peniaga berniaga secara sah tanpa kebimbangan terhadap isu penguatkuasaan.

“Ini adalah salah satu cara kerajaan negeri menyediakan kemudahan asas kepada peniaga supaya mereka boleh berniaga dengan selesa, berlesen dan menikmati kadar sewaan yang minimum,” katanya.

Beliau berharap peniaga dapat memanfaatkan sepenuhnya kemudahan disediakan dengan mengamalkan etika perniagaan yang berintegriti.

Sementara itu, peniaga, Norhazwani Ahmad, meluahkan rasa syukur apabila akhirnya memperoleh gerai yang selesa dengan kadar sewaan berpatutan.

“Alhamdulillah, inilah pasar yang kami tunggu. Kemudahan disediakan baik dan harga sewa juga berpatutan,” katanya.

Peniaga, Norhazwani Ahmad

Seorang lagi peniaga, Fauziah Begum Muhammad Jabarullah Khan, berkata lokasi pasar yang strategik memberi kelebihan dari segi kehadiran pelanggan.

“Kawasan ini memang padat dengan orang ramai. Suasana perniagaan selesa dan sangat sesuai untuk berniaga,” katanya.

Peniaga, Fauziah Begum Muhammad

Projek yang bermula pada 2019 itu dibangunkan bagi menggantikan pasar lama yang telah beroperasi lebih 30 tahun dan tidak lagi memenuhi keperluan semasa, sebelum siap sepenuhnya pada 2024.