LAWAS, 21 Januari - Sepasang suami isteri warga emas maut selepas kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori pengangkut batu di Kampung Berayung Baru, Jalan Trusan, tengah hari tadi.
Mangsa, Peranchis Nani, 67 tahun, yang memandu kereta, dan isterinya, Raminah Tadam, 69 tahun, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas, Clarence D. Primus Tiandun, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.11 tengah hari sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
"Siasatan awal mendapati lori tersebut dipercayai menuju ke bandar Trusan sebelum bertembung dengan kereta pasangan itu yang datang dari arah bertentangan," katanya.
Kedua-dua mangsa tersepit di bahagian tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan, manakala pemandu lori hanya mengalami kecederaan ringan.
Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.