fb fb fb fb fb

Pas perjalanan tanpa had My50 boleh diperbaharui gunakan e-dompet

Foto hiasan

PETALING JAYA, 17 Januari- Pas perjalanan tanpa had My50 bagi pengguna pengangkutan awam kini boleh diperbaharui menggunakan aplikasi e-dompet bermula Mei ini.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, selain memudahkan pengguna, inisiatif itu bertujuan mengurangkan kesesakan di kaunter Transit Aliran Ringan (LRT), khususnya di stesen LRT Pasar Seni dan LRT Abdullah Hukum.

"Mereka hanya perlu pakai kad Touch & Go mereka dan perbaharui melalui Touch & Go E-Wallet. Ini akan memudahkan mereka lagi supaya tak perlu beratur di kaunter," katanya.

Beliau berkata demikian pada Pembentangan Laporan Prestasi Prasarana 2024, di Menara Prasarana di sini.

Penggunaan aplikasi e-dompet antara lain membolehkan proses memperbaharui pas perjalanan lebih pantas dan efisyen selain pengguna masih boleh memperbaharui pas di semua kaunter LRT.

Kerajaan akan meneruskan subsidi pas My50 menerusi Belanjawan 2025 dengan jangkaan untuk menarik lebih ramai pengguna baharu, seiring usaha Prasarana untuk meningkatkan nisbah penggunaan pengangkutan awam kepada 40 peratus di Lembah Klang menjelang 2030.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI