KUALA LUMPUR, 12 September- PAS kekal menganggap UMNO dan semua pihak yang bernaung di bawah gagasan Penyatuan Ummah sebagai rakan ta’awun (rakan kerjasama) terutama dalam membina negara yang baik dan diredai Tuhan.
Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata parti itu akan terus bersikap terbuka serta sedia mengadakan pertemuan, perbincangan dan perundingan bersama semua rakan ta’awun dengan memfokus kepada titik persamaan selain merapatkan jurang perbezaan demi kebaikan negara dan rakyat.
Takiyuddin berkata perkara itu adalah antara perkara yang diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, semalam.
Beliau berkata parti itu akan terus konsisten dan komited dengan agenda Penyatuan Ummah sebagai paksi utama perpaduan nasional antara orang Melayu-Islam, bumiputera dan rakyat pelbagai kaum di negara ini.
“Keadaan ini sekali gus akan menjadi formula utama ke arah kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat. Ini juga selaras dengan usul yang dibawa Dewan Ulamak PAS Pusat dan disokong sebulat suara dalam Muktamar PAS Ke-68 di Alor Setar baru-baru ini.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan
“PAS juga tetap dengan penegasan tidak bekerjasama dengan Pakatan Harapan dan tidak menerima konsep khemah besar tajaan mana-mana pihak sekalipun dalam menghadapi PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15),” menurutnya dalam kenyataan semalam.
Takiyuddin juga berkata PAS amat yakin perpaduan antara parti Melayu-Islam dapat menjamin terbentuknya sebuah pemerintahan adil dan saksama untuk semua rakyat pelbagai kaum, agama, bangsa serta budaya seterusnya akan diterima baik oleh majoriti rakyat yang tidak mahu sejarah hitam lampau berulang. -BERNAMA