fb fb fb fb fb

Parti komponen Kerajaan Perpaduan elak 'curi' ahli parti lain - TPM Zahid

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi / Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 14 Disember – Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan semua parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan agar tidak mengambil ahli daripada parti komponen lain demi menjaga perpaduan dan kesejahteraan dalam kalangan parti.

Beliau menegaskan ahli dan pemimpin parti harus mengutamakan kepentingan parti berbanding kepentingan peribadi, sambil menegaskan bahawa agenda peribadi perlu diketepikan demi memastikan parti diberi keutamaan.

"Jika kepentingan peribadi menjadi keutamaan, kita serahkan kepada ahli-ahli dan masyarakat untuk menilai," katanya.

Beliau ditemui selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Kolej Ketengah Kali Ke-4 di ibu negara.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mengesahkan tiada permohonan diterima daripada Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk meninggalkan UMNO.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid turut mengulas mengenai laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Katanya, kerajaan menyerahkan kepada Peguam Negara untuk mengambil langkah seterusnya berhubung laporan tersebut.

"Itu jelas, ianya telah dibawa ke kabinet dan kita serahkan kepada Peguam Negara untuk ambil tindakan selanjutnya," katanya.

Terdahulu, Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil menyatakan bahawa Peguam Negara dicadang untuk menyahklasifikasi laporan akhir Pasukan Petugas Khas (PPK) yang ditubuhkan untuk menyemak semula undang-undang berkenaan kes kedaulatan tiga kawasan tersebut.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN