fb fb fb fb fb

Parlimen perlu kekal sebagai tonggak demokrasi, terima kasih Wan Junaidi – Johari

Majlis Amanat Yang di-Pertua Dewan Negara & Yang di-Pertua Dewan Rakyat pada 22 Januari 2024/Foto Parlimen Malaysia

KUALA LUMPUR, 22 Januari –Warga Parlimen diminta untuk terus berkhidmat dengan cekap dan tertib dalam memastikan institusi Parlimen kekal menjadi tonggak demokrasi negara.

Menurut Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul sebagai sebuah badan perundangan mewakili rakyat di peringkat akar umbi, Parlimen adalah landasan penting dalam memastikan dasar dan polisi kerajaan dilaksanakan secara efektif dan berkesan melalui mekanisme semak dan imbang.

“Warga Parlimen Malaysia harus bergerak seiring dengan momentum negara yang positif serta ditandakan dengan perkembangan ekonomi sebanyak empat hingga lima peratus pada tahun 2024 di samping nilai pelaburan RM225 billion pada tempoh sembilan bulan pertama 2023,” katanya ketika berucap sempena Majlis Amanat Yang di-Pertua Dewan Negara dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat hari ini.

Menerusi kenyataan Pejabat Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Johari berkata Malaysia telah mula menyusun strategi untuk peranan sebagai pengerusi ASEAN pada 2025. Parlimen Malaysia sebagai pengerusi Persidangan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) pada tahun 2025 harus memainkan peranan bekerjasama rapat dengan semua negara anggota, rakan dialog dan rakan luar untuk merealisasikan Komuniti ASEAN yang adaptif, tangkas, proaktif dan responsif untuk meraih peluang.

Pada majlis sama, beliau turut merakamkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar atas segala sumbangan dan bakti beliau, khususnya usaha untuk mengembalikan kedudukan insitusi Parlimen.

Mewakili warga Parlimen, Johari turut mengucapkan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas kebijaksanaan dan pertimbangan baginda yang amat teliti mengemudi bahtera negara walaupun dilanda badai pandemik dan ketidaktentuan politik.

“Alhamdulillah, negara kita masih kekal aman makmur di atas izin-Nya.

“Tidak lama lagi, DYMM Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar akan dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 dan akan bersemayam selama lima tahun, berkuat kuasa 31 Januari 2024. Umum mengetahui bahawa pendirian Sultan Ibrahim yang tegas menyuarakan pendapatnya secara terbuka mengenai isu-isu dan dasar-dasar Kerajaan,” menurut kenyataan itu.

Justeru, menurut Johari kesediaan baginda untuk bertitah mengenai isu-isu yang dekat dengan hati rakyat Malaysia, warga Parlimen Malaysia yang bekerja di institusi yang bertindak sebagai wadah suara nurani rakyat harus sama sama menggembleng tenaga untuk sentiasa meningkatkan prestasi institusi ini kepada tahap yang tinggi.

Ia boleh dilakukan dengan mendemokrasikan Parlimen dan mendekatkan Parlimen kepada rakyat melalui pelbagai program jangkauan untuk memberi kefahaman kepada rakyat tentang sistem Parlimen

MAT YUNUS BIN SABRI