KUALA LUMPUR, 5 Mac- Pelbagai perkara berkaitan tuntutan hak Sabah dan Sarawak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berjaya diselesaikan.
Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah berkata ia hasil komitmen dan kerjasama utuh kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri terlibat.
"Dalam diam-diam usaha yang dilaksana itu telah banyak membuatkan hasil. Misalnya, bayaran interim geran khas Sabah di bawah Perkara 112 dalam Perlembagaan Persekutuan, telah ditingkatkan daripada RM260 juta kepada RM300 juta sementara memuktamadkan kaedah terbaik untuk 2/5 atau 40 peratus tersebut," kata Datuk Matbali semasa perbahasan usul titah diraja, di Parlimen.
Terbaharu, Dewan Undangan Negeri Sabah pada Januari lalu telah meluluskan Rang Undang-undang berkaitan pengambilalihan kuasa selia tenaga dan bekalan elektrik oleh kerajaan negeri daripada kerajaan Persekutuan.
Sementara itu, tiada punca kuasa yang jelas, antara faktor berlaku masalah perumahan terutama kediaman berstrata.
Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail mencadangkan agar Rang Undang-Undang (RUU) sewaan kediaman dan cukai kekosongan hartanah digubal.
"Antara isu berkaitan hartanah kediaman berstrata termasuk ketidakmampuan pemilik unit strata menggalas tugasan dan tanngungjawab. Isu ini kita sudah bincangkan dan hadapi bertahun.
Masalah jawatankuasa pengurusan yang tidak ada kemampuan untuk uruskan bangunan berstrata malah yang kita lihat di Selangor, Ampang, Johor dan Penang, kita berdepan masalah bangunan strata yang usang," kata Rodziah di Parlimen.
Beliau turut mengesyorkan lima akta sedia ada bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dikaji semula.
Itu termasuk Akta Kerajaan Tempatan, Akta Pengurusan Strata serta Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan).
Dalam perkembangan lain, wakil Julau, Datuk Larry Soon mencadangkan penubuhan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) untuk meneroka dan mengawal selia industri berkaitan unsur nadir bumi (REE).
Tujuannya adalah untuk memastikan sumber asli itu diguna secara bertanggungjawab dan lestari.
Beliau turut menekankan keperluan merangka undang-undang khusus bagi mengawal eksploitasi perlombongan unsur nadi bumi.
Selain itu, Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berpendapat bahawa cadangan penamatan operasi beberapa plaza tol di lebuh raya pantai timur wajar dipertimbang, sebagai langkah mengatasi kesesakan pada waktu puncak.
Dalam pada itu, kerajaan disaran mengkaji pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terhadap 23 kategori amalan perubatan di bawah Akta Profesion Kesihatan Bersekutu 2016.
Menurut wakil Rasah, Cha Kee Chin, kesemua amalan perubatan itu sangat diperlukan ketika ini.
Terdahulu, MoF mengecualikan tujuh kategori perubatan tradisional yang diletakkan di bawah Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2016 daripada SST.
Itu termasuk akupunktur, perubatan tradisional Melayu, homeopati, dan amalan perubatan Islam.