KUALA LUMPUR, 24 Mac– Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menyumbang RM20,000 kepada WWF-Malaysia bagi menjalin kerjasama dalam merangka program pendidikan khusus untuk golongan belia di Parlimen Lembah Pantai.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, sumbangan itu mencerminkan komitmennya dalam meningkatkan kesedaran anak muda mengenai kepentingan pemuliharaan alam sekitar dan perlindungan spesies hidupan liar.
"Saya berharap kerjasama ini dapat melahirkan program-program pendidikan yang melibatkan anak-anak di Lembah Pantai, khususnya dari kawasan PPR dan sekitarnya.
"Ini bagi memastikan mereka lebih cakna tentang nasib bumi kita, haiwan-haiwan yang terancam serta langkah-langkah yang boleh diambil untuk memelihara alam sekitar," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan kempen kesedaran pemuliharaan hidupan liar Malaysia, 'Charms for Change' anjuran Touch 'n Go.
Dalam majlis yang sama, Touch 'n Go turut menyumbang RM20,000 kepada Pusat Tuisyen Anak Malaysia bagi membantu golongan kurang berkemampuan mendapatkan akses kepada pendidikan percuma.