KUALA LUMPUR, 8 November- Parlimen Belia bakal diberi nafas baharu dengan pelarasan format berbeza pada Mac tahun hadapan disusuli persidangan pada September.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata, antara kelainan yang bakal ditampilkan termasuk sistem pengundian seperti Pilihan Raya Umum (PRU) serta pemilihan calon perwakilan dalam kalangan mahasiswa universiti awam dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) seluruh negara.
"Kita mengharapkan anak-anak muda lebih terlibat awal di peringkat politik sebab itu Parlimen Belia sangat penting. Saya sedang menguruskan dengan Dewan Negara untuk melihat perkara yang boleh ditingkatkan.
"Perinciannya sedang diteliti dan akan ditambah baik bagi Parlimen Belia dan ia merupakan sebagai platform untuk golongan muda melangkah jauh dalam arena politik sebenar," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Simposium Parlimen Malaysia Kali Ketiga bertemakan 'Parlimen : Tunjang Semak Imbang Negara' di ibu negara.
Dalam pada itu pihaknya juga sedang berhubung dengan pihak universiti untuk memastikan pelaksanaan tersebut dapat direalisasikan.
Jumlah perwakilan ahli Parlimen Belia juga akan ditambah kepada 222 anggota berbanding hanya 100 orang ketika ini.
Simposium Parlimen Malaysia Kali Ketiga dianjurkan itu dilihat memberi kefahaman mengenai fungsi dan peranan semak serta imbang parlimen kepada masyarakat.
"Menerusi simposium ini, maka masyarakat boleh meluahkan pandangan-pandangan termasuk organisasi terhadap pelaksanaan Parlimen.
"Seterusnya ialah ia juga membolehkan kita untuk kita memperbaiki, naik taraf prestasi bukan sahaja sebagai sebuah institusi Parlimen tetapi juga menjaga kualiti perdebatan berlaku dalam Parlimen," katanya.
Menerusi simposium itu, ahli parlimen mempunyai ruang untuk saling bertukar-tukar pandangan dengan ahli akademik dan pemimpin masyarakat untuk memperhalus isu-isu berkaitan tadbir urus parlimen dan proses penggubalan perundangan negara.
Pada masa sama golongan belia juga berpeluang terlibat dalam sesi simposium tersebut bagi menerapkan gambaran jelas kepada mereka berkaitan Perlembagaan Persekutuan.