ALOR SETAR, 30 Ogos-Paras air di tiga empangan seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), terutama Empangan Muda dan Empangan Pedu meningkat sedikit selepas menerima hujan sejak dua minggu lalu.
Menerusi laman sesawang MADA, paras Empangan Muda kini meningkat kepada 14.12 peratus, berbanding hanya 7.8 peratus, manakala di Empangan Pedu turut naik sedikit kepada 34.72 peratus, berbanding tempoh sama iaitu 33.21 peratus dan Empangan Ahning 78.82 peratus, berbanding 78.5 peratus.
Ini menjadikan keseluruhan takungan air di tiga empangan itu sebanyak 40.63 peratus, berbanding 38.85 peratus pada 18 Ogos lalu.
Sebelum ini, Pengerusi MADA, Datuk Dr Ismail Salleh berkata sumber bekalan air negeri akan berada pada tahap kritikal sekiranya paras takungan di Empangan Pedu mencapai paras bawah 15 peratus.
Katanya, takungan di tiga empangan itu masih dikategorikan sebagai normal dan masih tinggi jika dibandingkan dengan rekod terendah sebelum ini.
Bagi takungan terendah bagi Empangan Pedu adalah 11.21 peratus pada 15 April 1982 dan Empangan Muda 2.7 peratus pada 6 Mac 1978 diikuti Empangan Ahning paras terendah 27 peratus pada 29 Mac 2005.