ALOR SETAR, 5 Ogos-Orang ramai tidak perlu panik mengenai paras takungan air di Empangan Muda dan Pedu berikutan ia masih pada tahap normal dan tinggi jika dibandingkan dengan rekod terendah sebelum ini.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Datuk Dr Ismail Salleh sumber bekalan air negeri akan kritikal sekiranya takungan Empangan Pedu yang menjadi sumber takungan empangaan Muda dan Ahning mencapai paras bawah 15 peratus.
"Pada 1982 pernah turun ke paras 11 peratus. Ada paras-paras yang rendah pada tahun tertentu.Lebih rendah daripada paras kritikal.
"Jadi, sekarang ini, paras kita adalah 37 peratus nak dibandingkan dengan 15 peratus itu masih jauh", katanya demikian pada satu sidang media di sini.
Jelasnya, berdasarkan rekod, Empangan Muda pernah mencapai 2.7 peratus pada 6 Mac 1978, manakala bagi Empangan Ahning adalah 27 peratus pada 29 Mac 2005.
Ujar Ismail, ketika ini status kedudukan semasa takungan air di ketiga-tiga empangan terlibat adalah 41.97 peratus iaitu Empangan Pedu sebanyak 37 peratus, Empangan Muda 7.4 peratus dan Empangan Ahning 80.76 peratus.
Tambahnya, MADA juga tidak bercadang memohon operasi pembenihan awan kerana Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan taburan hujan akan meningkat pada Ogos, September dan Oktober ini.